Sabtu, 26 Februari 2011

KOLEKSI NAMA BAYI PEREMPUAN

KOLEKSI NAMA BAYI PEREMPUAN

Adibah Aida (Berpengetahuan/keberuntungan)

Anak yang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi bukan sahaja menguntungkan kedua ibu bapa, tetapi menguntungkan dirinya sendiri. Apa-apa jua kejayaan yang hendak dicapai sama ada pada dunia dan akhirat, mestilah dengan ilmu pengetahuan. Beruntunglah kepada anak-anak yang tinggi ilmu pengetahuannnya.

Alani Fatini (Ketinggian/bijaksana)

Seorang anak yang bijaksana senang dididik dan senang untuk memahamkan mereka dalam banyak aspek. Kefahaman mereka untuk menangkap apa-apa yang ingin disampaikan sangat tangkas. Ibu bapa hanya perlu untuk bercakap sedikit, tetapi anak mudah ingat dan tahu apa yang dimaksudkan

Ahlam Fakhira (Paling sempurna/termashyur)

Pada zaman yang serba mencabar ini, untuk mendidik anak ke arah kesempurnaan diri memang merupakan satu cabaran. Lihatlah di luar sana, berapa ramai anak-anak yang kecundang menjadi mangsa dadah, pergaulan bebas dan sebagainya. Memberikan nama ini, semoga anak sempurna pada zahir dan batin, menjadi termasyhur dengan kesempurnaan diri yang dimilikinya.

Alya Adriana (Ketinggian, nisbah)

Semoga anak ini menjadi orang yang sangat suka melakukan kebaikan yang tiada henti nisbahnya.

Alya Jazilah (Ketinggian/bijak bercakap)

Kelebihan ataupun ketinggian anak ini terletak kepada petahnya dalam berkata-kata. Anak yang bijak bercakap juga merupakan suatu kelebihan dirinya untuk berjaya dalam hidup. Semoga anak menjadi orang yang bijak dalam berkata-kata dan mengamalkan apa yang diperkatakan.

Amirah Hazirah (Puteri/pilihan yang terbaik)

Pilihan nama yang sangat baik untuk diberikan kepada seorang anak perempuan. Kelebihan anak perempuan ialah lebih peka dan mudah menolong kesusahan ibu bapa. Hatinya lebih sensitif dalam menangani dan menangkap emosi ibu bapa. Anak beginilah yang diletakkan harapan untuk mengenang jasa ibu bapa apabila ia dewasa kelak.

Ani Syazwani (Kesopanan/keharumanku)

Anak yang terkenal dengan kesopanan memang menjadi idaman kedua ibu bapa. Tiada gunanya anak yang berjaya tetapi selalu menyakitkan hati. Biarlah nama ini menjadi harum kerana kesopanan diri yang dimilikinya dan pandai pula menjaga hati ibu bapanya. Bak kata pepatah “sejuk mata memandang” bila melihat anak yang hidupnya penuh dengan adab sopan.

Anis Syafiqah (Mesra/baik hati/penyayang)

Seseorang yang berwatak mesra, mudah untuk bergaul sesama masyarakat. Hatinya bersih daripada sifat sombong dan takabur. Sifat-sifatnya yang begitu, menyebabkan orang lain menyayanginya. Tumbuh menjadi seorang yang mesra dan mudah didekati. Ia juga seorang yang baik hati dan menyayangi orang lain dengan penuh keikhlasan tanpa berpura-pura.

Atiqah (Yang mulia/yang dipilih)

Seorang yang jelita pada wajah dan juga budi pekertinya. Memiliki budi pekerti yang elok dan merupakan seorang yang lemah lembut. Peribadinya berakhlak. Selain merupakan nama kepada para sahabat Rasulullah, Atiqah juga bermakna mulia dan terpilih.

Azyan Jalilah (Perhiasan/yang mulia)

Adakalanya ibu bapa mengeluh bila melihat anak yang susah untuk mendengar kata. Apatah lagi untuk menghormati orang tua. Dikurniakan anak yang soleh merupakan perhiasan yang mulia dan dapat menghiburkan hati ibu bapa.

Aliyah Afifah (Wanita yang tinggi/yang sopan)

Wanita akhir zaman, selalu dikaitkan dengan kehilangan sopan santun dan juga budi pekerti yang baik. Namun, bukan zaman yang silap tetapi sebenarnya pendidikan yang diberikan oleh ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan anak. Biarlah zaman berubah kemodenannya, tetapi seorang wanita tetap tinggi dengan kesopanan dan budi pekerti baik yang dimiliki.

Aisyah Aqilah * Aisyah Afiqah (Hidup bahagia/ Cerdas, pandai * Sangat berpengetahuan)

Ibu bapa pastinya mengharapkan anak-anak hidup bahagia. Doa yang berpanjangan sentiasa dipanjatkan demi kebahagiaan anak. Pastinya ibu bapa boleh bergembira bila anak-anak kembarnya cerdas dan sangat berpengetahuan. Merekalah yang diharapkan untuk meneruskan perjuangan generasi akan datang. Generasi yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan yang luas, malahan tinggi pula budi pekertinya.

Damia Lutfiah (Kebijakan, kelembutan)

Anak bukan sekadar bijak tetapi memiliki kelembutan yang menawan hati sesiapa yang memandangnya. Bijak dalam mengatur hidup, lembut dalam ketegasan. Tidak mudah diperdayakan oleh sesiapa yang ingin mempermainkan dirinya.

Dayana Batrisya (Gagah perkasa/cerdik/pintar)

Seorang yang memiliki nama ini akan menjadi terkenal, berjaya dalam apa bidang yang diceburinya. Hatinya cekal dan gagah dalam membina dan mengejar kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Sifat-sifat baik yang dimilikinya, memudahkan ia membina karisma diri.

Dalili Fahimah (Pemimpin/yang bijak)

Ibu bapa memang mengharapkan anak yang bijak dan berkebolehan dalam memimpin. Generasi beginilah yang diharapkan untuk meneruskan perjuangan demi kebaikan bangsa, agama dan negara.

Dhia Syarafana (Cahaya/kemuliaan)

Anak yang dididik dengan penuh disiplin sewaktu kecilnya, akan menjadi orang yang tahu menghargai masa dan menghargai diri sendiri. Pekerjaan yang tidak memberi manfaat akan dijauhi sedaya mungkin. Hasilnya, melahirkan sesuatu yang mulia untuk dijadikan contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat.

Diyanah (agama)

Nama yang cukup sinonim dengan kecantikan wajah yang selalu dimiliki oleh pemiliknya. Mungkin orangnya putih, berseri dan apa sahaja yang cantik pada dirinya. Di sebalik nama yang sedap didengar ini, sebenarnya ia bererti agama. Agama pastinya yang berkait rapat dengan kesucian dan juga kebersihan. Semoga anak pandai menjaga kebersihan dan kesucian dirinya sebagai seorang wanita yang solehah.

Fathiah (Kemenangan)

Nama ini umumnya nampak ringkas sahaja. Namun, ia mempunyai pengertian yang sangat luas. Sesuai dengan ertinya yang membawa maksud kemenangan. Semoga anak sentiasa mencapai kemenangan di dalam setiap cabaran dan persaingan yang dihadapinya.

Fathinah Uzma (Bijaksana/terbaik)

Anak yang memiliki nama ini, mempunyai motivasi diri, tangkas berfikir dan cepat memahami sesuatu perkara. Petah dan bijak berkata-kata.

Fatin Sahira (Menarik/mempesonakan/memikat hati)

Seorang anak yang lincah dan mempesonakan mata yang memandang. Apa lagi jika ibu bapa dapat mendidiknya menjadi anak yang baik. Lebih dapat memikat hati dengan akhlak baiknya. Itulah penghibur dan permata hati ibu bapa.

Faiqah Faqihah (Paling baik/pintar)

Seorang anak yang diharapkan kebaikan daripada dirinya. Kebaikan yang ada pada dirinya menyebabkan ia disukai oleh kawan-kawan dan dapat memberikan contoh teladan yang baik pada masyarakat sekeliling. Pintar dan pandai berdikari dalam mengurus dan mengatur program kehidupan diri.

Fakhirah Shakila (Kebanggaan/cantik)

Kecantikan yang ada pada anak bukanlah untuk dijadikan bahan kebanggaan. Malahan kecantikan itu lebih bererti sekiranya disertai dengan cantiknya budi pekerti yang dididik oleh kedua-dua ibu bapa. Biarlah anak memiliki kecantikan zahir dan juga pada batinnya. Berwajah cantik menjadikan anak lebih patuh dan tunduk terhadap Tuhan yang menciptakannya. Bersyukur selalu sebab Allah melebihkan wajahnya.

Fatin Afifah (Menarik perhatian, yang sopan)

Tiada yang lebih berharga bagi ibu bapa yang memiliki anak perempuan yang sopan. Baik budi pekerti, sangat menjaga tutur kata dan pandai menjaga diri ketika bergaul dengan kawan-kawan. Sesiapa yang memandang tertarik dengan sikap dirinya yang boleh bertolak ansur dan tidak mementingkan diri sendiri.

Firas Wafiyyah (Pandangan yang tajam/sempurna)

Bukan mudah mendidik anak untuk menjadi anak yang baik, apa lagi untuk menghasilkan anak yang cemerlang. Mempunyai pandangan yang tajam, hasil dari ilmu pengetahuan yang diperoleh. Semuanya memerlukan kesungguhan dan pengorbanan yang bukan sedikit. Malahan perlu pula kepada usaha yang berterusan, bukan hanya didapati dengan berimpian semata-mata.

Fatin Khadijah (Bijaksana)

Seorang wanita yang terkenal dengan kepintarannya dalam perniagaan. Kaya raya dan berharta, tetapi tidak ada sifat sombong dan angkuh pada dirinya. Wanita yang sangat setia kepada suami. Dia seorang yang mempunyai daya tarikan yang kuat dan seorang yang berpengaruh.

Hana Humaira (Rezeki tanpa kepayahan/yang berpipi merah)

Memang ada anak-anak yang rezekinya sentiasa cerah. Selalunya anak yang begini orang kata nasibnya untung dan baik. Ada-ada sahaja yang menyebabkan rezekinya sentiasa ada dan berpanjangan. Anak yang begini hidupnya selalu dipenuhi dengan keriangan dan kekayaan.

Hana Khalilah (Rezeki tanpa kepayahan/kesayangan)

Anak merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada ibu bapa. Didiklah anak dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang. Hidup yang penuh dengan kasih sayang akan memudahkan anak membina kehidupan yang lebih bahagia dan cemerlang pada masa depannya.

Hani Mastura (Tenang/yang terpelihara)

Semoga ketenangan sentiasa terpelihara di dalam sesebuah rumah tangga bila ada anak yang memiliki nama ini. Ketenangan hidup juga bererti kebahagiaan hidup. Fitrah manusia memang suka pada ketenangan.

Huda Khalidah (Petunjuk yang benar/yang abadi)

Dalam menempuh arus kehidupan yang serba maju ini, ada manusia yang terlalai dan tersasar dalam mencari jalan kebenaran dan kebahagian hidup. Semoga anak yang memiliki nama ini mendapat petunjuk yang benar untuk membina kehidupannya. Petunjuk yang benar dan kekal abadi hingga ke akhir hayatnya.

Hani Khalilah (Yang mengucapkan selamat/kesayangan)

Semoga anak yang dianugerahkan sentiasa selamat dan merupakan kesayangan setiap insan.

Husna Afifah (Kebaikan, mempunyai harga diri)

Melihat remaja perempuan hari ini (segelintirnya), takut menerpa diri. Mereka seolah-olah hilang rasa maruah diri. Nama dan didikan yang baik akan dapat menghindari segala keburukan yang ada.

Husna Farihah (Yang cantik, sukacita)

Kecantikan dan kegembiraan merupakan impian setiap insan. Moga-moga anak yang memiliki nama ini sentiasa ceria dan memeriahkan suasana rumah tangga

Iffah Huriyyah (Suci terpelihara/bidadari)

Alangkah bertuahnya ibu bapa yang boleh mendidik anak perempuannya tahu menjaga dan memelihara maruah diri. Melihat fenomena masyarakat sekarang, segelintir remaja perempuan hilang malu dalam menjaga akhlak diri mereka. Melepak, merokok, pergaulan bebas menjadi kebiasaan hidup. Semoga anak yang memiliki nama ini terhindar daripada perkara-perkara sedemikian, sesuai dengan namanya yang suci lagi terpelihara.

Irdina Ilmuna (Kehormatan kami/pengetahuan kami)

Semoga anak dididik untuk mengejar ilmu pengetahuan yang tinggi. Sebarang kejayaan yang hendak dicapai, ia memerlukan ilmu pengetahuan, apa lagi dalam menghadapi zaman yang serba mencabar ini. Orang yang berilmu pengetahuan, apa lagi kalau berakhlak, dia akan dihormati oleh orang lain.

Izzah Insyirah (Kemuliaan/kegembiraan, lapang hati)

Semoga anak yang dilahirkan memiliki perbadi mulia. Akhlak-akhlak baik yang dimilikinya mampu menggembira dan menjadi penghibur kepada kedua ibu bapa yang telah mendidiknnya menjadi manusia yang berguna pada dunia dan akhiratnya.

Izz Zayani (Kekuatan/yang cantik)

Kehadiran anak yang dinantikan telah tiba untuk memberi kekuatan dan kegembiraan terhadap kedua ibu bapanya. Wajah anak yang comel dan cantik itu, sangat menghiburkan. Kepada ibu bapa, tanamkan azam untuk mendidik anak menjadi lebih cemerlang pada dunia dan akhiratnya.

Jauza Kamilia (Nama bintang/pokok yang menghijau)

Semoga kehidupan anak dipenuhi dengan kejayaan, seumpama cahaya bintang yang berkelipan di malam hari. Kejayaannya itu pula mampu memberi sinar dan manfaat kepada orang lain, terutama ibu bapa dan masyarakat.

Julia Malihah (Berambut panjang/cantik)

Anak yang cantik pasti menjadi pilihan kepada ibu bapa. Bukan sahaja cantik pada tubuh badannya malahan pada budi pekertinya juga. Anak perempuan elok kalau berambut panjang, sesuai identitinya sebagai seorang wanita.

Kautsar Kamilah (Nikmat yang banyak/yang sempurna)

Anak merupakan nikmat dikurniakan Allah kepada umat-Nya. Sempurnalah sebuah perkahwinan yang dilengkapi dengan kehadiran cahaya mata yang menghiburkan. Kesempurnaan itu alangkah baiknya jika ibu bapa lebih menundukkan diri kepada Tuhan yang menciptakan semuanya dan benar-benar mendidik anak agar menjadi anak yang soleh dalam menjaga akhlaknya sesama manusia dan Tuhannya.

Khairul Syifa (Kebaikan/penawar)

Nama anak perempuan ini akan menjadi penawar dan penyejuk hati ibu bapa. Melihat anak yang senang dibentuk dan mudah mendengar kata sememangnya melapangkan dada kepada sesiapa yang melihatnya. Hal ini meninggikan lagi harapan ibu bapa agar anak menjadi orang yang berguna pada agama, bangsa, dan negara.

Khaulah Al Azwar

Terkenal dengan sifat keberanian, kepahlawanan dan ketangkasan dalam menunggang kuda, sehingga namanya tercatat dalam sejarah. Khaulah turut berjuang dalam peperangan di samping kaum lelaki untuk menebus kembali abangnya yang ditawan oleh musuh. Semangat dan keberaniannya yang sangat kental, hingga dapat menyuburkan jiwa perjuangan orang lain pula.

Laila Madihah (Kekasih, yang terpuji)

Sesuai dengan sifat kewanitaannya, nama ini terpuji dengan akhlak yang menawan. Insya-Allah akan menjadi kekasih yang ideal kepada bakal suami untuk meneruskan generasi-generasi yang akan datang.

Laila Mardhiah (Kekasih/yang disayangi)

Moga-moga anak menjadi orang yang dikasihi oleh Allah. Bila dewasanya pula menjadi isteri yang baik kepada suami dan anak-anaknya.

Lina Nadhirah (Kelembutan/yang berseri)

Semoga anak menjadi wanita yang lemah lembut pada budi pekertinya. Memiliki anak perempuan yang lemah lembut dan bersopan santun, akan menyerikan lagi kehidupan keluarga bahagia.

Liya Zafirah (Yang beroleh kemenangan)

Liya adalah nama anak kepada Nabi Yaakub. Dia merupakan seorang anak yang taat kepada ibu bapanya. Sangat menghormati dan menjaga bapanya yang telah tua. Gabungan nama ini, semoga anak beroleh kemenangan di dunia dan akhirat dengan mendapat keberkatan ibu bapa.

Maznah Muktazzah (Kepujian/mulia)

Anak yang memiliki nama ini, memang akhlaknya terpuji. Suka melakukan kebaikan dan menolong orang yang di dalam kesusahan, tanpa ingin mendapat balasannya. Apa yang dilakukan penuh dengan keikhlasan dan hanya mengharapkan keredaan Tuhan.

Mirrah Almas (Akal yang cerdas/intan)

Kecerdikan akal merupakan suatu anugerah Tuhan yang amat berharga buat seseorang. Akal yang cerdik merupakan segumpal intan yang boleh dicanai menjadi pelbagai permata yang berkilauan dan indah dipandang mata. Pada ibu bapa yang ingin memiliki anak pintar, nama ini bolehlah menjadi pilihan.

Miza Karmila (Berseri-seri/manis)

Wajah anak yang berseri-seri boleh menghilangkan penat lelah ibu bapa yang bekerja seharian. Wajah yang manis dan berseri-seri juga sangat memainkan peranan, terutamanya bila berkomunikasi sesama manusia.

Marsya Maisarah (Subur/kesenangan)

Maisarah ertinya kesenangan. Semoga anak memiliki kesenangan yang berpanjangan untuk menjadi seorang yang sangat berdikari. Tidak sahaja berdikari malahan ringan tangan untuk menolong orang lain yang di dalam kesusahan dan kesempitan.

Muna Mukhlisah (Keinginan/yang ikhlas)

Manusia ramai yang berpura-pura demi kepentingan diri sendiri. Semoga anak yang memiliki nama ini terselamat dari sifat yang demikian. Biarlah keinginan yang ikhlas dalam membuat sesuatu dilakukan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Apa-apa jua pertolongan yang diberikan kepada orang lain adalah ikhlas, seikhlas nama yang ada padanya.

Mirrah Nashihin (Akal yang cerdas/pemberi nasihat)

Sesuai dengan namanya yang mempunyai akal yang cerdas, layaklah baginya untuk memberi sesuatu nasihat atau pandangan yang bernas. Idea-idea bagus yang selalu diberikan adalah selaras dengan ketinggian akal yang dimiliki.

Najwa Asyilah (Bisikan rahsia/nama yang baik)

Anak yang pandai menjaga maruah diri. Sesuai dengan makna namanya yang baik. Rahsia hati ibu bapa ingin memiliki anak yang sempurna telah tercapai dengan memilih nama ini.

Naqibah (Ketua/fikiran yang tajam)

Di kalangan wanita sendiri perlu ada orang yang mampu menjadi ketua. Berani memperkatakan dan memperjuangkan kebenaran, walaupun ianya pahit. Seorang ketua pastinya memiliki fikiran yang tajam untuk mengupas dan memberi pandangan yang bernas pada isu-isu yang berlaku di tengah masyarakat, untuk kebaikan masyarakat keseluruhannya.

Nawal Atiyah (Memperolehi sesuatu/pemberian)

Anak merupakan satu pemberian Allah yang tidak ternilai harganya. Sesungguhnya laksanakanlah tanggungjawab yang sebaik-baiknya sebagai ibu bapa.

Nawal Najah (Hadiah/kejayaan)

Kegembiraan ibu bapa bila melihat anaknya berjaya dalam apa-apa bidang yang diceburinya. Ia merupakan suatu hadiah kejayaan yang sukar dilafazkan.

Nur Amalina (Cahaya harapan)

Memang anak menjadi harapan terhadap kedua ibu bapanya. Apa yang diharapkan pastilah sesuatu yang baik untuk masa depan si anak. Didiklah anak dengan bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan yang baik. Semoga harapan ibu bapa menjadi kenyataan, setelah berusaha menunaikan tanggung jawab dalam mendidik anak ini.

Nur Azmina (Cahaya keazaman)

Keazaman adalah satu faktor untuk menjadi seorang yang berjaya. Dengan adanya keazaman akan melahirkan tindakan untuk mencapai apa-apa yang dicita-citakan. Semoga anak yang memiliki nama ini sentiasa di terangi oleh cahaya keazaman untuk memantapkan dirinya sendiri menuju kecemerlangan hidup.

Nur Naqiyah (Cahaya/jernih)

Fitrah anak memang bersih sejak dari kecilnya. Suka kepada kebaikan dan juga kebenaran. Tugas ibu bapa hanyalah memberikan galakan dan rangsangan untuk anak terus mengekalkan kebaikan-kebaikan yang ada dalam diri mereka.

Nurul Iman (Cahaya iman)

Iman merupakan perkara utama dalam kehidupan. Tanpa keimanan yang kukuh, seseorang tidak dapat untuk menyediakan benteng untuk berhadapan dengan arus kemodenan menyelamatkan dirinya mengharungi hidup di zaman yang semakin maju dan berteknologi tinggi ini.

Nurul Nuha (Cahaya kecerdasan)

Semoga anak memiliki otak dan badan yang cergas. Secergas otaknya untuk berfikir ke arah soal-soal kejayaan hidup demi kebahagiaan diri sendiri dan ibu bapa. Anak yang tenang, matang, teliti dan sentiasa berwaspada untuk mencapai kejayaan hidup. Pastinya ibu bapa gembira dan berbangga memiliki anak yang memiliki otak dan akal yang panjang.

Nuri Nazlah (Cahaya/kemenangan)

Seorang anak yang diharapkan dapat memberi cahaya kegembiraan dalam hidup kedua ibu bapanya. Anak yang berupaya mencapai pelbagai kemenangan pada dunia dan juga akhirat.

Nafisah Nazih ((Yang mulia/tidak membuat yang keji))

Bukan mudah untuk mendidik anak menjadi seorang yang mulia dan berbudi tinggi. Tetapi itu cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa. Nama ini menampilkan peribadi anak yang cukup baik. Semoga anak ini benar-benar terhindar daripada perbuatan-perbuatan yang keji yang boleh merosakkan diri sendiri. Sebersih nama dan semulia nama yang dimilikinya.

Raihanah (Sejambak bunga yang harum)

Selain maknanya yang bererti sejambak bunga yang harum, nama ini sebenarnya merupakan seorang wanita yang cantik dan bersopan santun. Tegas dan tetap pendirian.

Rohadatul Aisy (Kemakmuran hidup)

Seorang anak perempuan yang diharapkan dapat memakmurkan kehidupan keluarga dengan kebaikan akhlak yang dimilikinya. Sesungguhnya adab sopan yang dimiliki oleh anak merupakan harta yang tidak bernilai buat kedua-dua ibu bapa.

Ridwana Rifiah (Keriangan/ketinggian kemuliaan)

Anak yang memiliki sifat yang riang akan mudah menghiburkan hati ibu. Anak yang begini mudah mengatur hidupnya sendiri tanpa banyak menyusahkan ibu bapa. Anak yang boleh berdikari kerana mempunyai disiplin diri yang tinggi terhadap diri sendiri.

Ruzana Ridwana (Ketenangan/keriangan)

Nama yang sedap didengar, apa lagi bila melihat orangnya. Seorang anak yang keletah dengan kehidupannya, yang penuh dengan keriangan. Melihat wajahnya hati akan terhibur dan berada dalam ketenangan. Segala masalah hidup yang dihadapinya, diselesaikan dengan bijaksana tanpa keluh kesah yang melulu.

Safura Nazihah (Keemasan/jujur)

Safura adalah anak kepada Nabi Yaakub yang telah menunjukkan sifat ketaatan kepada kedua ibu bapanya. Sanggup bersusah payah untuk menolong ibu bapanya. Seorang anak yang jujur dan ikhlas dalam membantu kesusahan orang lain.

Siti Saffanah (Permata)

Wanita yang merupakan permata bernilai kerana termasyhur dalam bidang kefasihan bertutur dan juga sastera. Terkenal dengan baik dan murah hati serta rupawan.

Sima Sahirah (Lambang keindahan/memikat hati)

Anak perempuan adalah lambang keindahan dan sebagai bunga penyeri sesebuah rumah tangga. Sebagai lambang keindahan sesebuah keluarga sepatutnya anak dididik dengan budi pekerti yang baik dan mempunyai akal yang tajam. Gabungan antara keduanya barulah melahirkan akhlak terpuji, yang dapat memikat hati sesiapapun.

Sofiah Solehah (Jernih/baik)

Semua ibu bapa sangat mengharapkan anaknya menjadi orang yang baik. Semoga nama yang lembut dan sedap didengar ini menjadi pilihan kedua ibu bapa untuk diberikan kepada anak. Seterusnya anak benar-benar menjadi anak yang solehah (baik) yang tidak pernah lupa untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa, mahu pun di dunia dan di akhirat.

Syamimi Syamilah (Yang berbau harum, lengkap)

Sebagai seorang anak perempuan, semoga ia pandai menjaga kehormatan diri. Harum dengan budi pekerti yang baik dan lemah lembut pada tingkah lakunya. Lengkap dirinya dengan ilmu-ilmu pengetahuan untuk mencari kedamaian dan kebahagiaan hidup.

Salma Shafiyyah (Yang damai/suci)

Anak yang diharapkan memberi kedamaian dan ketenangan dalam kehidupan kedua-dua ibu bapa. Pandai memelihara kesucian diri dan kelembutan sebagai seorang wanita. Semoga anak terpelihara dari segala perbuatan dan tindakan yang boleh menjatuhkan maruah diri.

Syahindah (Taqwa, warak, mulia)

Nama yang cukup indah. Semuanya terangkum dalam satu perkataan. Tiga dalam satu. Apa lagi yang diinginkan jika anak memiliki sifat dan peribadi ini. Hanya kesyukuran yang dipanjatkan kepada Tuhan yang menganugerahkan anak sebegini kepada kita. Tetapi sebelum itu, tentu ibu bapanya seorang yang soleh.

Tasnim Amani (Air terjun dalam syurga/ketenanganku)

Air sejuk yang mengalir untuk menghilangkan dahaga, merupakan suatu kesyukuran di atas nikmat Allah. Begitu jugalah dengan kurnian anak yang baik dapat menghiburkan hati ibu bapa dalam menghadapi dugaaan yang pelbagai di dunia yang serba mencabar ini.

Wafa Thahirah (Kesetiaan/yang suci)

Anak ini akan menjadi manusia yang setia dan taat kepada kedua ibu bapanya. Bila mendapat keredhaan ibu bapa akan memudahkan lagi dirinya untuk mendapat keredhaan Allah. Ia juga akan setia untuk melaksanakan perintah agamanya yang suci.

Wani Hazirah (Mutiara/pilihan yang terbaik)

Seorang anak dianggap sebagai mutiara yang paling berharga. Apalagi jika dididik menjadi insan yang berguna pada bangsa, agama dan negara. Justeru, anak dijadikan pilihan terbaik sebagai penyambung warisan kedua ibu bapanya.

Watin Wardah (Yang sempurna/sekuntum bunga mawar)

Anak yang memiliki nama ini diharapkan dapat menyempurnakan apa-apa jua yang menjadi harapan ibu bapa terhadap dirinya. Pandai menjaga maruah diri sebagai anak perempuan kepada ibu bapa. Namanya sesegar bunga mawar yang tidak akan layu sebelum sampai masa untuk dipetik. Bukannya mudah, ia suatu cabaran kepada ibu bapa masa kini.

Widad Kamilah (Kasih sayang/yang sempurna)

Lahirnya anak ke dunia ini, adalah lambang kasih sayang antara suami dan isteri. Anak menjadi pengikat kasih berpanjangan dan kesempurnaan dalam membina keluarga yang bahagia. Adanya nama ini di dalam keluarga, semoga terhindarlah daripada kehidupan yang kucar kacir kerana ketandusan kasih sayang.

Wafiy Munirah (Setia/yang cantik)

Anak perlu dididik untuk menjadi seorang yang setia. Mudah dan ingat apa yang diajarkan oleh guru-guru dan juga ibu bapa. Apatah lagi jika mudah mengamalkan segala nasihat yang diberikan. Hati menjadi tenang melihat anak yang begini. Semoga anak menjadi orang yang baik dan cantik budi pekertinya.

Yasmin Syamini (Keharuman yang tinggi/bunga melur)

Ibu bapa memang mengharapkan anak gadis yang pandai menjaga maruah diri. Maruah diri yang tidak mudah untuk ditukarkan dengan wang ringgit dan mengikut nafsu sahaja. Keharuman dirinya sentiasa dijaga agar sentiasa segar dalam jambangan. Tidak layu sebelum dipetik oleh tangan yang ingin memilikinya.

Zuhrah Musfirah (Keindahan/yang berseri)

Anak yang kelihatan tenang dan merendah diri. Pandai menyesuaikan diri dan tahu ke mana tujuan hidupnya. Tetapi memiliki keindahan pada wajah dan akhlaknya.